Armenia Banteras Gejala Punk Rock Emo


YEREVAN, Armenia 28 Dis. - Tindakan beberapa pegawai polis yang memasuki rumah seorang remaja berusia 13 tahun, Marsha dan menggeledah bilik serta memeriksa komputernya bukanlah kerana dia terlibat dalam jenayah berat.

Kesalahan yang dilakukannya hanyalah kerana dia menjadi pengikut setia sebuah kumpulan punk rock dikenali sebagai 'emo' yang mula menjadi budaya baru di kalangan remaja di bekas negara Kesatuan Soviet ini.

"Ia merupakan satu pengalaman yang amat menakutkan," kata Marsha yang merupakan pelajar sekolah di ibu negara Armenia ketika menceritakan tentang pengalamannya disiasat polis.

Polis di Yerevan sedang melancarkan kempen menentang komuniti emo selepas dua kejadian bunuh diri yang dipercayai melibatkan ahli kumpulan berkenaan.

Mereka mendakwa kumpulan itu merupakan ancaman kepada masa depan generasi muda di negara ini.

Sejak itu, polis telah melakukan pemeriksaan di sekolah-sekolah, menyiasat pelajar yang dipercayai pengikut kumpulan emo berdasarkan pakaian mereka serta memasang kamera litar tertutup di kawasan yang menjadi tempat generasi muda berkumpul.

Berpuluh-puluh pengikut emo turut ditahan pihak berkuasa walaupun ada pihak mendakwa undang-undang di negara ini tidak membenarkan polis bertindak menentang genre muzik itu dan pengikutnya.

Dalam satu wawancara dengan akhbar tempatan, Ketua Polis Armenia, Alik Sarkisian berkata, budaya emo boleh 'menghapuskan generasi akan datang' sekali gus merupakan ancaman kepada negara ini.

"Kita perlu menentang budaya ini kerana ia merupakan fenomena yang merosakkan moral remaja di negara ini," katanya.

Emo yang diambil daripada singkatan perkataan 'emosional' itu merupakan sebahagian daripada genre muzik punk rock dan mula dikenali di Amerika Syarikat (AS), sebelum ia menjadi popular di seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - AFP

* Sumber dari laman Utusan Malaysia<--Klik untuk ke laman tersebut.
======================================================================

Membaca artikel diatas menarik perhatian saya mengenai tahap penularan budaya tersebut termasuk budaya-budaya barat serta timur yang tidak baik keatas golongan remaja kita di Malaysia. Kita dapat lihat disekeliling kita bagaimana keadaan remaja-remaja kita (yang ditekankan disini adalah yang beragama ISLAM).

Kerajaan Armenia bertindak pantas untuk menghalang penularan budaya emo ini. Sekurang-kurangnya mereka bertindak. Apa pula tindakan yang dilakukan di negara kita? Saya teringat kembali apabila suatu ketika dulu budaya 'punk' membiak dan menguasai golongan remaja di bandar-bandar besar negara kita. Hampir setiap hari perkara tersebut menjadi tajuk berita dan surat khabar. Setelah beberapa hari, kisah tersebut hilang dan terus menjadi sepi namun pada hakikatnya penularannya semakin meningkat. Siapa yang perlu disalahkan? Ibu bapa, guru, kerajaan atau remaja itu sendiri?!!

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud:

"Negara yang baik (makmur) akan menampilkan hasil mahsulnya ( yang baik dan sihat) dengan izin tuhannya, manakala negara yang buruk, tidak akan dapat menghasilkan kecuali pengeluaran yang buruk. Demikianlah Kami ajukan tanda-tanda kebesaran Kami kepada kaum yang bersyukur."
(al-'Araf : 58)


Negara yang baik memerlukan pemimpin yang baik. Pemimpin yang baik dapat diwujudkan melalui institusi keluarga yang baik. Peranan ibu bapa disini amat penting. Namun ada juga ibu bapa yang telah menjalankan tanggungjawab mereka namun anak-anak berubah dengan terpengaruh dengan ajakan rakan serta media massa yang agak keterlaluan kini atas alasan memodenkan bangsa.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya RASULULLAH itu bagi kamu adalah contoh ikutan yang baik untuk mereka yang mengharapkan ALLAH, mengharapkan (ganjaran) hari akhirat dan mereka yang kerap mengingati ALLAH."
(al-Ahzab : 21)


Ingatlah wahai saudara dan saudari ku, RASULULLAH SAW adalah sebaik-baik insan yang harus dijadikan contoh dan ikutan. Kita adalah bakal pemimpin dan kita harus memastikan diri kita berada di landasan yang betul sebelum meminta dan mengarahkan orang lain agar bertindak dengan betul.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

"Dengan rahmat ALLAH kepadamu itu maka engkau berlemah lembut menghadapi mereka. Seandainya hatimu keras dan (sikapmu) kasar nescaya mereka bubar dari sekelilingmu."
(Ali Imran : 159)


ALLAHU AKBAR, Wallahu'alam bissawab.

Hamba Allah
Berpegang Pada Tali Yang SATU

No comments:

Post a Comment