Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Ramadhan & Kemerdekaan


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Dengan nama ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji dan syukur hanyalah selayaknya kepada ALLAH SWT, tuhan yang telah mencipta manusia dengan sebaik kejadian, dilengkapi dengan akal fikiran dan peraturan hidup yang sempurna untuk memandu kehidupan di atas muka bumi ini agar sentiasa berada di landasan yang benar

Selawat dan salam ke atas junjungan besar RASULULLAH SAW, penghulu sekalian rasul, keluarga baginda, para sahabat baginda, tabiin, tabiut tabiin dan para salafus soleh yang telah merealisasikan peraturan hidup ALLAH itulah yang terbaik, sehingga merakamkan suatu sejarah tamadun dan peradaban gemilang yang tiada tolok bandinganya hingga akhir zaman.

Kita kini berada di penghujung 2/3 Ramadhan dan malam ini bermulalah pengiraan 10 malam terakhir Ramadhan. Sejajar dengan itu, malam ini juga merupakan malam bermulanya sambutan hari kemerdekaan negara kita yang dicintai, Malaysia. Tahukah anda bahawa Ramadhan dan kermerdekaan adalah sinonim? Bulan Ramadhan juga dikenali sebagai bulan kemerdekaan dimana kita memerdekakan diri dari kongkongan nafsu, dimana ALLAH SWT memerdekakan kita dari dosa dan azab Jahannam dan dimana ALLAH SWT memerdekakan ahli-ahli kubur dari seksaan kubur.

Cuba kita tanyakan, apakah yang paling bermakna dalam hidup sahabat RASULULLAH SAW yang bernama Bilal bin Rabbah? Tidak lain dan tidak bukan, ialah ISLAM dan merdeka – mendapat cahaya kebenaran ISLAM dari rasul junjungan RASULULLAH SAW dan kemudian, dimerdekakan oleh Saiyidina Abu Bakar R.A.

Akhirnya, dengan ISLAM dan merdeka itu, Bilal menjadi seorang manusia baru yang berhati waja, bermaruah, tidak dihina dan ditindas lagi. Dengan ISLAM dan merdeka juga, Bilal – pemuda kulit hitam dari Habsyah yang dipandang hodoh serta diejek kaum jahiliah Quraisy – berubah menjadi pejuang ISLAM yang tinggi keyakinan dirinya. Tanpa ISLAM dan merdeka, kita takkan kenal siapa Bilal bin Rabbah.

Begitulah juga dengan kemerdekaan yang dinikmati oleh negara kita sejak 53 tahun lalu. Dari kemerdekaan itu, Tanah Melayu yang sebelum itu dipandang rendah, dihina, ditindas dan ditendang-tendang oleh penjajah, berubah menjadi sebuah negara yang bermaruah, maju dan dipandang tinggi.

Bangsa yang dahulu ditertawa, dipinggirkan ke hulu sungai, kebun dan ceruk hutan, kini menjadi bangsa yang bermaruah, maju dan dipandang tinggi juga. Mampukah kita capai semua ini tanpa kemerdekaan?

Namun, hendak mencapai kemerdekaan bukanlah mudah. Kita terpaksa melalui kesusahan, kezaliman, kekejaman dan berjuang terlebih dahulu. Tentu kita tahu apa yang telah dilakukan oleh Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan pengganas komunis.

Itulah yang dilalui oleh Bilal. Setiap hari dia diseksa, diletakkan batu atas dadanya yang dibaringkan di atas pasir ketika matahari terik di kepala. Hanya keteguhan iman, semangat yang kuat dan daya juang yang tinggi saja yang telah membebaskan Bilal daripada perhambaan.

Begitu juga dengan negara dan bangsa kita. Hanya selepas berjuang hingga terpaksa menumpahkan darah dan air mata, barulah kemerdekaan tercapai.

Perjuangan untuk mencapai kemerdekaan memang perit, tetapi hasilnya sangat manis. Merayakan kemerdekaan itu tentulah lebih manis lagi dan menyeronokkan, seperti mana yang kita nikmati sekarang.

Demikianlah dengan Ramadhan. Ramadan sebenarnya adalah sebuah perjuangan untuk mencapai kemerdekaan. Apakah perjuangannya? Itulah perjuangan untuk menewaskan nafsu – ammarah, lawwamah (selalu menyesali diri), mulhimah, radhiah dan mardhiah.

Nafsu itu dikuasai oleh syaitan. Ia sangat sukar ditundukkan kerana ia terdapat di dalam diri kita yang dikendalikan oleh syaitan.

Di sinilah letaknya perjuangan dalam ibadah puasa di bulan Ramadhan. Nafsu dan syaitan, yang begitu kuat, kejam serta licik itulah yang perlu ditewaskan. Perjuangan itu teramat payah dan memerlukan pengorbanan. Ia juga perlukan 'ubat' yang kuat, iaitu amal ibadah yang ikhlas, siang dan malam, melakukan ibadah-ibadah sunat, banyakkan beristighfar, bertadarus, bertasbih, berselawat serta berzikir, seperti yang disabdakan oleh RASULULLAH SAW yang bermaksud:

“Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah berpuasa pendengaranmu, penglihatanmu, lidahmu daripada dusta dan dosa, dan elakkan meyakiti khadam. Hendaklah kamu hormatinya dan bersikap tenang pada hari puasamu. Jangan kamu samakan hari berpuasa dengan hari tidak berpuasa.”

Selepas berjuang dalam melaksanakan puasa, berjaya memerdekakan diri daripada belenggu nafsu serta hasutan syaitan, imbuhan yang dijanjikan oleh Allah amatlah lumayan. Antaranya:

Sabda RASULULLAH SAW yang bermaksud, “Diberikan kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat terdahulu, iaitu bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada bau kasturi di sisi Allah, segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya, diampunkan dosa-dosa mereka pada malam lailatulqadar, amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali dan dikurniakan nikmat dan keseronokan ketika berbuka dan ketika menemui Allah di akhirat kelak.”

RASULULLAH SAW juga bersabda yang bermaksud, “Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardu, dan amal fardu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar dan sabar itu adalah syurga balasannya. Bulan ini dilebihkan rezeki kepada hamba-Nya orang mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa, barang siapa memberi makan kepada orang yang berpuasa, pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya.”

Selain itu, RASULULLAH SAW turut bersabda, "Pintu langit dan pintu syurga dibuka pada awal Ramadan hingga akhir malam Ramadan. Setiap orang yang bersolat pada malamnya ditulis baginya tiap satu sujud 1,700 kebajikan, dibina rumah baginya di dalam syurga daripada yaqut merah indah, baginya 70 pintu daripada emas yang bertatahkan yaqut merah indah. Orang yang berpuasa awal Ramadan diampunkan segala dosanya hingga ke akhir Ramadan, dibina baginya tiap-tiap hari sebuah mahligai di dalam syurga, mempunyai 70,000 malaikat dari pagi hingga tenggelam matahari.”

Renungkanlah, ALLAH SWT mengurniakan akal kepada Malaikat tetapi tidak nafsu, ALLAH SWT mengurniakan nafsu kepada haiwan tetapi tidak akal. Namun bagi manusia, ALLAH SWT mengurniakan kedua-dua akal dan nafsu. Untuk apa..??!!! Untuk membuat maksiat, berzina, membuang bayi dan mengagungkan manusia yang tidak sepatutnya...??!!! Atau membuat kebaikkan, beramal jariah, membantu mereka yang memerlukan dan sentiasa berfikiran baik. Pilihan ditangan anda. Adakah anda mahu berparti sempena sambutan malam kemerdekaan atau bermuhasabah diri dan beriktikaf di masjid bagi menyambut 10 malam terakhir Ramadhan serta merebut keberkatan Lailatul Qadar??!!!

Kesempatan ini saya gunakan untuk mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan Ke-53. Selamat Hari Lahir MALAYSIA. Dan selamat beriktikaf dan merebut fadhilat Lailatul Qadar.

Wassalam.

Hamba Allah
Berpegang Pada Tali Yang SATU

* sebahagian isi kandungan diatas diolah dari laman web Ummatan Wasatan. Terima kasih diucapkan kepada penulisnya En. Zulkarnain Zakaria.*

Nuzul Al-Quran




Turunnya Al-Quran

Tanggal 17 Ramadhan adalah merupakan hari penting ISLAM yang paling utama, kerana pada hari itulah kitab suci Al-Quran sebagai pedoman bagi umat ISLAM diturunkan. Peristiwa yang bersejarah ini terjadi ketika RASULULLAH SAW sedang berkhalwat (berseorangan) di gua Hira' Jabal Nur, pada saat itu datanglah malaikat JIBRIL A.S lalu memeluk RASULULLAH SAW dengan kuatnya seraya berkata "Bacalah". RASULULLAH SAW menjawab, "Aku tidak pandai membaca." JIBRIL A.S melakukan yang demikian itu sebanyak tiga kali.

Akhirnya JIBRIL A.S membacakan wahyu pertama yang diturunkan kepada RASULULLAH SAW, sedangkan nabi mengikuti apa yang dibaca oleh JIBRIL A.S tersebut. Wahyu pertama ini terdapat dalam surah Al-A'laq ayat 1 hingga 5. Setelah itu JIBRIL A.S pun pergi. Nabi RASULULLAH SAW dengan segera pulang ke rumahnya, dalam keadaan tubuh yang menggigil, ia meminta isterinya Siti Khadijah R.A menyelimutinya.

Setelah rasa takut baginda hilang, RASULULLAH SAW menceritakan peristiwa yang berlaku di Gua Hira'. Siti Khadijah R.A berusaha untuk menenangkan hatinya dengan berkata, "Wahai suamiku, engkau adalah orang yang benar dalam segala perkara, suka membantu orang yang susah, bersifat jujur dan pemaaf, yakinlah wahai suamiku, Tuhan tidak akan menghinamu buat selama-lamanya."

Lalu Siti Khadijah R.A membawa RASULULLAH SAW ke rumah bapa saudaranya iaitu Waraqah Bin Naufal, seorang pemeluk agama Nasrani dan ahli Injil. Siti Khadijah menceritakan perkara yang telah terjadi keatas RASULULLAH SAW. Maka Waraqah berkata, "Sesungguhnya yang datang padamu iti adalah malaikat JIBRIL A.S, dialah malaikat yang pernah mendatangi Nabi Musa A.S dan nabi-nabi sebelumnya. Aku Berjanji, jika umurku panjang nescaya aku akan ikut serta membantu perjuanganmu." Peristiwa turunya wahyu yang pertama ini terjadi pada 17 Ramadhan.

Isi Kandungan Al-Quran

Untuk keselamatan dan kebahagian umat manusia dari dunia sampai akhirat, Al-Quran telah cukup lengkap dan sempurna memberikan pedoman, bergantung sama ada orang mahu mengamalkan isi yang terkandung di dalamnya atau tidak. Al-Quran mengatur hubungan manusia dengan ALLAH SWT, hubungan manusia dengan manusia dan dengan alampersekitarannya. Al-Quran juga mengatur dalam bidang politik, sosial ekonomi, budaya dan keamanan. Jika disimpulkan, isi Al-Quran mengandungi tiga perkara asas:

- Berkenaan dengan IMAN atau kepercayaan kepada ALLAH SWT (Tauhid)

- Berkenaan dengan hati (akhlak atau tasawwuf)

- Berkenaan dengan anggota badan, termasuk perkara yang berhubung dengan pergaulan hidup (fiqh)

Keutamaan Membaca Al-Quran dan Khasiatnya

Al-Quran adalah kitab suci yang merupakan sumber utama ajaran ISLAM menjadi petunjuk kehidupan umat manusia, diritunkan ALLAH SWT kepada RASULULLAH SAW sebagai salah satu rahmat yang tidak ada bandingannya bagi alam semesta. Di dalam Al-Quran terkumpul wahyu ILAHI yang menjadi petunjuk, pedoman dan pelajaran bagi siapa yang mempercayai sertamengamalkannya. Al-Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan ALLAH SWT yang isinya meliputi segala pokok-pokok syariah yang terdapat dalam kitab-kitab suci yang diturunkan sebelumnya. Kerana itu, setiap orang yang mempercayai Al-Quran akan bertambah cinta kepadanya, cinta untuk membacanya, untuk mempelajarinya dan memahaminya serta untuk mengamalkan dan mengajarkannya kepada yang lain sehingga merata rahmatnya dirasai oleh penghuni alam semesta.

Setiap mukmin yakin dan percaya bahawa membaca Al-Quran sudah termasuk amal yang sangat mulia dan akan mendapat pahala yang berlipat ganda, sebab yang dibacanya adalah Kitab Suci. Al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi orang mukmin, baik di kala senang mahupun di kala susah, di kala gembira ataupun di kala sedih. Malah membaca Al-Quran itu bukan sahaja menjadi amal ibadah, tetapi juga menjadi ubat dan penawar bagi orang yang gelisah jiwanya.

Selamat Menyambut Nuzul Al-Quran 1431 Hijrah.

Hamba Allah
Berpegang Pada Tali Yang SATU

Ibadah Dalam Bulan Ramadhan

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Dengan nama ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji dan syukur hanyalah selayaknya kepada ALLAH SWT, tuhan yang telah mencipta manusia dengan sebaik kejadian, dilengkapi dengan akal fikiran dan peraturan hidup yang sempurna untuk memandu kehidupan di atas muka bumi ini agar sentiasa berada di landasan yang benar

Selawat dan salam ke atas junjungan besar RASULULLAH SAW, penghulu sekalian rasul, keluarga baginda, para sahabat baginda, tabiin, tabiut tabiin dan para salafus soleh yang telah merealisasikan peraturan hidup ALLAH itulah yang terbaik, sehingga merakamkan suatu sejarah tamadun dan peradaban gemilang yang tiada tolok bandinganya hingga akhir zaman.

Sesungguhnya ALLAH SWT membuka seluasnya pintu-pintu langit sepanjang bulan Ramadhan sebagai tanda kasih dan sayang pada kita hambaNya. ALLAH menghulurkan rahmat, berkat, keampunan dan darjat yang tinggi bagi mereka-mereka yang mengabdikan diri padaNya sepanjang Ramadhan. Berlipat kali ganda ganjaran ditawarkan untum segala bentuk ibadah samada fardhu atau sunat. Mari kita kupas ibadah-ibadah yang wajib dan sunat dilakukan sepanjang Ramadhan.

Puasa

Puasa adalah salah satu dari rukun ISLAM yang lima. Puasa adalah wajib bagi semua umat ISLAM samada lelaki atau wanita. Dalil yang mewajibkan puasa seperti yang telah dinyatakan pada artikel yang sebelumnya, ALLAH SWT berfirman di dalam AL-QURAN yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa.”
(Surah al-Baqarah: 183)


Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhary bahawa RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud:

"ISLAM itu didirikan atas lima sendi; Persaksian bahawa tiada tuhan melainkan ALLAH dan MUHAMMAD itu pseuruhNya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan puasa di dalam bulan Ramadhan."

RASULLAH SAW juga bersabda yang bermaksud:

"Puasalah kamu jika telah melihat bulan dan berbukalah kamu jika nampak anak bulan

ALLAHU AKBAR, Wallahu'alam bissawab.

Hamba Allah
Berpegang Pada Tali Yang SATU

Kelebihan Ramadhan

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Dengan nama ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji dan syukur hanyalah selayaknya kepada ALLAH SWT, tuhan yang telah mencipta manusia dengan sebaik kejadian, dilengkapi dengan akal fikiran dan peraturan hidup yang sempurna untuk memandu kehidupan di atas muka bumi ini agar sentiasa berada di landasan yang benar

Selawat dan salam ke atas junjungan besar RASULULLAH SAW, penghulu sekalian rasul, keluarga baginda, para sahabat baginda, tabiin, tabiut tabiin dan para salafus soleh yang telah merealisasikan peraturan hidup ALLAH itulah yang terbaik, sehingga merakamkan suatu sejarah tamadun dan peradaban gemilang yang tiada tolok bandinganya hingga akhir zaman.

Sebelum kita membincangkan tentang kelebihan amalan-amalan yang afdhal di bulan Ramadhan, mari kita melihat kelebihan Ramadhan itu sendiri. Telah diriwayatkan oleh Al-Bukhary dan Muslim daripada Abu Hurairah R.A bahawa RASULULLAH SAW telah bersabda maksudnya:

"Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukakanlah pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan."

Dalam satu lagi riwayat oleh At-Tirmidzi dan Ibnu Majah (sebahagian ulama meriwayatkan dari At-Tirmidzi dan Al-Nasa'i) daripada Abu Hurairah R.A sesungguhnya RASULULLAH SAW telah bersabda maksudnya:

"Apabila bermula malam yang pertama bulan Ramadan menyerulah malaikat, katanya: “Wahai orang yang mencari dan berkehendakkan kebaikan: Tampilah mengerjakannya, dan wahai orang yang merasa mahukan kejahatan; berhentilah daripada meneruskannya; dan (ketahuilah) ALLAH SWT banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya'. Seruan dan keampunan yang demikian, ada pada tiap-tiap malam (dalam bulan yang tersebut).”

Al-Qadhi Iyyad berkata; Hadis berkemungkinan bermaksud secara zahir dan hakikatnya. Dan sesungguhnya pembukaan pintu-pintu syurga dan penutupan pintu-pintu neraka dan pembelenguan syaitan-syaitan adalah alamat kedatangan bulan tersebut dan besarnya kemuliaannya. Di mana syaitan-syaitan tidak boleh menyakiti orang-orang yang beriman dan menanamkan was-was terhadap mereka.

Berkemungkinan juga maksudnya adalah secara kiasan di mana ianya adalah sebagai isyarat untuk banyaknya pahala dan keampunan didalam bulan tersebut. Maka di dalam bulan tersebut gangguan dan godaan syaitan bertambah kurang. Seakan-akan mereka dibelenggu dan pembelengguan mereka hanya daripada sesetengah perkara tanpa perkara yang lain dan sesetengah manusia tanpa manusia yang lain. Semasa kecil saya membayangkan bahawa syaitan akan diikat kaki serta tangan dan berkemungkinan diikat di tiang-tiang lampu atau telefon. Kini bila difikirkan semula, saya tersenyum sendiri. Kita harus ingat bahawa walaupun syaitan lemah di bulan Ramadhan, nafsu yang dilatih syaitan selama setahun yang berada di dalam diri kita sendiri akan cuba untuk mengawal. Kita seharusnya menggunakan sebaiknya Ramadhan untuk mendidik nafsu kita agar walau selepas Ramadhan, nafsu akan tunduk pada kita dan bukan sebaliknya.

Berkemungkinan makna pembukaan pintu-pintu langit adalah ibarat dari tindakan ALLAH SWT membukakan untuk hamba-hambanya ibadat-ibadat ketaatan di dalam bulan ini dan ketaatan yang umumnya dilakukan di dalam bulan tersebut seperti amalan puasa, mengerjakan ibadat di malamnya, segala amalan kebaikan dan menjauhkan dari melakukan kejahatan. Amalan-amalan soleh tersebut adalah merupakan asbab-asbab kemasukan ke dalam syurga dan amalan-amalan itu juga menutupkan pintu-pintu neraka, membelenggukan syaitan-syaitan kesemuanya adalah ibarat daripada membelenggukan diri dari melakukan sebarang kemungkaran.

Sabda RASULULLAH SAW yang bermaksud ahli neraka yang dibebaskan adalah secara asasnya mereka melakukan dosa-dosa. Lantaran dosa-dosa tersebut diwajibkan mereka memasuki nereka, maka ALLAH SWT mengampunkan dosa-dosa mereka dengan berkat mereka menghormati bulan yang penuh berkat ini dengan menghidupkan malamnya dengan amalan-amalan dan berpuasa di siangnya. Tetapi di dalam riwayat di atas tidak disebut mengenai bilangan ahli neraka yang dibebaskan tersebut.

Di dalam riwayat yang lain dinyatakan sesungguhnya dibebaskan di setiap malam ribuan dari ahli nereka. Seolah-seolah maksudnya menunjukkan betapa banyaknya mereka yang dibebaskan dari neraka tanpa diberitahu bilangannya dengan tepat. Dan ALLAH SWT Maha Berkuasa di atas segala-galanya.

ALLAH SWT telah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 185; maksudnya:-

"(Beberapa yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan yang batil). Kerana itu barangsiapa di antara kamu hadir (di tempat tinggalnya) di bulan itu maka hendaklah ia berpuasa di dalam bulan itu dan barangsiapa yang sakit atau di dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu, pada hari-hari yang lain. Allah mengkehendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur."

Jadi saudara serta saudariku, itu adalah antara kelebihan-kelebihan Bulan Kekasih iaitu Ramadhan. Itu baru sedikit, menurut suatu riwayat lama; sekiranya manusia tahu akan kelebihan berpuasa maka pasti ia mahu berpuasa sepanjang hayatnya. Jadi marilah kita renung dan ambil iktibar. Moga kita digolongkan bersama mereka yang bertaqwa. InsyaAllah.


Hamba Allah
Berpegang Pada Tali Yang SATU.

Pengertian Ramadhan

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Dengan nama ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji dan syukur hanyalah selayaknya kepada ALLAH SWT, tuhan yang telah mencipta manusia dengan sebaik kejadian, dilengkapi dengan akal fikiran dan peraturan hidup yang sempurna untuk memandu kehidupan di atas muka bumi ini agar sentiasa berada di landasan yang benar

Selawat dan salam ke atas junjungan besar RASULULLAH SAW, penghulu sekalian rasul, keluarga baginda, para sahabat baginda, tabiin, tabiut tabiin dan para salafus soleh yang telah merealisasikan peraturan hidup ALLAH itulah yang terbaik, sehingga merakamkan suatu sejarah tamadun dan peradaban gemilang yang tiada tolok bandinganya hingga akhir zaman.

Kali ini saya ingin membawa saudara dan saudari untuk berkenalan dengan sahabat yang sentiasa kita nantikan setahun sekali iaitu Ramadhan. Ramai antara kita yang telah tetapkan di minda bahawa Ramadhan bermaksud Sahur, Puasa, Buka Puasa, Solat Tarawih serta Malam Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir. Tetapi adakah itu saja definisi Ramadhan??!!! Mari mengenal Ramadhan.

Ramadhan bermaksud ‘panas terik’ atau ‘terbakar’. Dinamakan demikian kerana cuaca di Jazirah Arab pada bulan Ramadhan sangat panas, sehingga jika sesiapa berjalan kaki tanpa alas di padang pasir pasti terlecur kakinya. Dalam pengertian lain dinamakan Ramadhan kerana pahala orang yang berpuasa dapat membakar dosa-dosanya yang telah lalu. Itulah Ramadhan. Terdapat banyak kisah dan peristiwa yang terjadi sepanjang bulan Ramadhan. Mari kita singkap peristiwa-peristiwa bersejarah tersebut InsyaAllah.

1. Diturunkan Wahyu Pertama dari Kitab Suci Al-Quran

Tanggal 17 Ramadhan adalah merupakan hari yang cukup besar dalam sejarah ISLAM kerana pada tanggal tersebutlah ayat pertama kitab suci al-Quran sebagai pedoman bagi umat ISLAM sehingga ke akhir zaman diturunkan. Peristiwa agung ini berlaku semasa RASULULLAH SAW sedang mengasingkan diri di gua Hira’ Jabal Nur. Pada suatu saat datanglah JIBRIL AS lalu memeluk RASULULLAH dengan kuat seraya berkata “Iqra” (Bacalah). RASULULLAH menjawab “Aku tidak pandai membaca”. Jibril memeluk kembali RASULULLAH dan berkata “Iqra”. Setelah diulang tiga kali dan RASULULLAH masih menjawab “Aku tidak pandai membaca”, maka akhirnya JIBRIL AS membacakan wahyu pertama dan RASULULLAH mengikut membaca bersama. Wahyu pertama ini terdapat dalam surah Al-A’laq ayat 1 hingga 5. Malam ini dikenali sebagai malam Nuzul Quran.

2. Lailatul Qadar

“Lailatul” ertinya malam dan “Qadar” ertinya nilai, mulia atau ketentuan. Dinamakan dengan “malam bernilai” atau “mulia” kerana pada malam itu diturunkan al-Quran yang mulia dan tinggi nilainya. Begitu juga bagi merekea yang beribadah pada malam tersebut, nilainya lebih baik dari 1,000 bulan atau jika dijumlahkan iaitu selama 83 tahun 4 bulan.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam kemuliaan. Tahukah kamu apa malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan JIBRIL dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan, sampai terbit fajar.”
(Surah al-Qadar: 1-5)


3. Perang Badar

Perang Badar terjadi pada tahun kedua selepas Hijrah tercatat dalam al-Quran dam surah al-Anfal. Perang Badar ini memilik sejarah tersendiri, iaitu merupakan sejarah mula dipisahkannya antara perkara yang benar (haq) dan dengan perkara yang batil. Pertempuran Badar terjadi pada hari Jumaat, 17 haribulan Ramadhan.

4. Penaklukkan Kota Mekah

Salah satu peristiwa penting dalam sejarah ISLAM yang terjadi pada bulan Ramadhan adalah penaklukkan kota Mekah yang terjadi tepat pada 20 haribulan Ramadhan tahun kelapan Hijrah. Peristiwa tersebut bermula dari perjanjian Hudaibiyah antara kaum kafir Quraisy Mekah dengan kaum muslimin di Madinah yang diikat pada tahun ke tujuh Hijrah. Sebagaimana yang diketahui bahawa salah satu isi dari perjanjian Hudaibiyah ialah, barangsiapa yang masuk kepada pihak RASULULLAH SAW, dia adalah termasuk pengikutnya demikian pula barangsiapa yang masuk ke dalam golongan kafir Quraisy, maka dia adalah sekutunya.

InsyaAllah akan kita bincangkan berkenaan peristiwa-peristiwa ini dimasa akan datang. Buat masa ini, renungkan definisi Ramadhan dan peristiwa-peristiwa penting tersebut. InsyaAllah akan kita bincangkan amalan-amalan yang boleh dilakukan bagi mengimarahkan Ramadhan, InsyaAllah.


Hamba Allah
Berpegang pada tali yang SATU

Hayati Institusi Ramadhan

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Dengan nama ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji dan syukur hanyalah selayaknya kepada ALLAH SWT, tuhan yang telah mencipta manusia dengan sebaik kejadian, dilengkapi dengan akal fikiran dan peraturan hidupn yang sempurna untuk memandu kehidupan di atas muka bumi ini agar sentiasa berada di landasan yang benar

Selawat dan salam ke atas junjungan besar RASULULLAH SAW, penghulu sekalian rasul, keluarga baginda, para sahabat baginda, tabiin, tabiut tabiin dan para salafus soleh yang telah merealisasikan peraturan hidup ALLAH itulah yang terbaik, sehingga merakamkan suatu sejarah tamadun dan peradaban gemilang yang tiada tolok bandinganya hingga akhir zaman.

Hmmm…. Ramadhan akan bertandang lagi tahun ini. Sebut Ramadhan, pasti adanya PUASA. Antara peraturan yang telah ALLAH tetapkan kepada manusia sejak dahulu, kini dan seterusnya hingga ke akhir zaman ialah puasa. Puasa adalah ibadah yang diwajibkan dalam ISLAM pada bulan Ramadhan.

ALLAH SWT berfirman di dalam AL-QURAN yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa.”
(Surah al-Baqarah: 183)


Puasa pada bulan Ramadhan adalah latihan besar kepada setiap individu Muslim. Ramadhan adalah satu madrasah bagi mendidik jiwa & nafsu agar menjadi lebih mantap. Biasanya orang yang berpuasa akan sedikit “lembik” dan ini mengurangkan kemungkinan untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang InsyaAllah.

Perintah puasa ada lah perintah yang besar. Ini kerana puasa Ramadhan adalah salah satu daripada rukun ISLAM yang lima. Kedudukan puasa Ramadhan, mengikut beberapa riwayat hadis; adalah rukun ketiga atau keempat selepas Syahadah dan Solat Fardhu.

Antaranya sabda RASULULLAH SAW yang bermaksud:

“ISLAM dibina di atas lima perkara. Dua kalimah Syahadah, Solat, Zakat, Puasa Ramadhan dan Haji bagi yang mampu.”
(Hadis Riwayat Bukhari)


Seruan berpuasa juga dimulakan dengan panggilan yang baik iaitu “Wahai orang-orang yang beriman”. Seruan ini besar maknanya bagi orang beriman… (adakah kita tergolong sebagai orang beriman…??!!!). Para sahabat RASULULLAH apabila mendengar sesuatu ayat AL-QURAN dimulakan, mereka tertunggu-tunggu tugas yang bakal diamanahkan. Ini berbeza dengan seruan AL-QURAN yang ditujukan kepada semua manusia tanpa ada apa-apa pengkhususan. Seruan ILAHI sebagai orang yang beriman adalah seruan yang amat indah. Cuba bayangkan jika orang lain memanggil kita dengan gelaran yang baik, apa perasaan kita?

Oleh kerana Puasa adalah ibadah yang baik, ALLAH bukan sahaja memerintahkan umat RASULULLAH untuk berpuasa, bahkan umat terdahulu juga berpuasa.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Sebagaimana yang difardhukan kepada umat sebelum kamu.”
(Surah al-Baqarah: 183)


Renungkanlah, kerana sesungguhnya ALLAH tidak pernah membiarkan hambaNya dalam kesusahan. Sekiranya kita merasakan bahawa kehidupan kita sentiasa dalam kesusahan, ini adalah kerana ALLAH sedang menguji kesabaran dan keteguhan IMAN kita InsyaAllah. Semoga kita sentiasa berjaya menempuhi semua ujian ALLAH dan membuktikan kita adalah dalam golongan orang yang beriman InsyaAllah.

Wabillahi taufiq walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Hamba Allah
Berpegang pada tali yang SATU.

*Petikan kata-kata Ustaz Dato’ Hj. Ismail Kamus & Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir dan ditambah oleh saya. Semoga kita sama-sama renungkan InsyaAllah.