Pengertian Ramadhan

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Dengan nama ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji dan syukur hanyalah selayaknya kepada ALLAH SWT, tuhan yang telah mencipta manusia dengan sebaik kejadian, dilengkapi dengan akal fikiran dan peraturan hidup yang sempurna untuk memandu kehidupan di atas muka bumi ini agar sentiasa berada di landasan yang benar

Selawat dan salam ke atas junjungan besar RASULULLAH SAW, penghulu sekalian rasul, keluarga baginda, para sahabat baginda, tabiin, tabiut tabiin dan para salafus soleh yang telah merealisasikan peraturan hidup ALLAH itulah yang terbaik, sehingga merakamkan suatu sejarah tamadun dan peradaban gemilang yang tiada tolok bandinganya hingga akhir zaman.

Kali ini saya ingin membawa saudara dan saudari untuk berkenalan dengan sahabat yang sentiasa kita nantikan setahun sekali iaitu Ramadhan. Ramai antara kita yang telah tetapkan di minda bahawa Ramadhan bermaksud Sahur, Puasa, Buka Puasa, Solat Tarawih serta Malam Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir. Tetapi adakah itu saja definisi Ramadhan??!!! Mari mengenal Ramadhan.

Ramadhan bermaksud ‘panas terik’ atau ‘terbakar’. Dinamakan demikian kerana cuaca di Jazirah Arab pada bulan Ramadhan sangat panas, sehingga jika sesiapa berjalan kaki tanpa alas di padang pasir pasti terlecur kakinya. Dalam pengertian lain dinamakan Ramadhan kerana pahala orang yang berpuasa dapat membakar dosa-dosanya yang telah lalu. Itulah Ramadhan. Terdapat banyak kisah dan peristiwa yang terjadi sepanjang bulan Ramadhan. Mari kita singkap peristiwa-peristiwa bersejarah tersebut InsyaAllah.

1. Diturunkan Wahyu Pertama dari Kitab Suci Al-Quran

Tanggal 17 Ramadhan adalah merupakan hari yang cukup besar dalam sejarah ISLAM kerana pada tanggal tersebutlah ayat pertama kitab suci al-Quran sebagai pedoman bagi umat ISLAM sehingga ke akhir zaman diturunkan. Peristiwa agung ini berlaku semasa RASULULLAH SAW sedang mengasingkan diri di gua Hira’ Jabal Nur. Pada suatu saat datanglah JIBRIL AS lalu memeluk RASULULLAH dengan kuat seraya berkata “Iqra” (Bacalah). RASULULLAH menjawab “Aku tidak pandai membaca”. Jibril memeluk kembali RASULULLAH dan berkata “Iqra”. Setelah diulang tiga kali dan RASULULLAH masih menjawab “Aku tidak pandai membaca”, maka akhirnya JIBRIL AS membacakan wahyu pertama dan RASULULLAH mengikut membaca bersama. Wahyu pertama ini terdapat dalam surah Al-A’laq ayat 1 hingga 5. Malam ini dikenali sebagai malam Nuzul Quran.

2. Lailatul Qadar

“Lailatul” ertinya malam dan “Qadar” ertinya nilai, mulia atau ketentuan. Dinamakan dengan “malam bernilai” atau “mulia” kerana pada malam itu diturunkan al-Quran yang mulia dan tinggi nilainya. Begitu juga bagi merekea yang beribadah pada malam tersebut, nilainya lebih baik dari 1,000 bulan atau jika dijumlahkan iaitu selama 83 tahun 4 bulan.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam kemuliaan. Tahukah kamu apa malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan JIBRIL dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan, sampai terbit fajar.”
(Surah al-Qadar: 1-5)


3. Perang Badar

Perang Badar terjadi pada tahun kedua selepas Hijrah tercatat dalam al-Quran dam surah al-Anfal. Perang Badar ini memilik sejarah tersendiri, iaitu merupakan sejarah mula dipisahkannya antara perkara yang benar (haq) dan dengan perkara yang batil. Pertempuran Badar terjadi pada hari Jumaat, 17 haribulan Ramadhan.

4. Penaklukkan Kota Mekah

Salah satu peristiwa penting dalam sejarah ISLAM yang terjadi pada bulan Ramadhan adalah penaklukkan kota Mekah yang terjadi tepat pada 20 haribulan Ramadhan tahun kelapan Hijrah. Peristiwa tersebut bermula dari perjanjian Hudaibiyah antara kaum kafir Quraisy Mekah dengan kaum muslimin di Madinah yang diikat pada tahun ke tujuh Hijrah. Sebagaimana yang diketahui bahawa salah satu isi dari perjanjian Hudaibiyah ialah, barangsiapa yang masuk kepada pihak RASULULLAH SAW, dia adalah termasuk pengikutnya demikian pula barangsiapa yang masuk ke dalam golongan kafir Quraisy, maka dia adalah sekutunya.

InsyaAllah akan kita bincangkan berkenaan peristiwa-peristiwa ini dimasa akan datang. Buat masa ini, renungkan definisi Ramadhan dan peristiwa-peristiwa penting tersebut. InsyaAllah akan kita bincangkan amalan-amalan yang boleh dilakukan bagi mengimarahkan Ramadhan, InsyaAllah.


Hamba Allah
Berpegang pada tali yang SATU

No comments:

Post a Comment