Hayati Institusi Ramadhan

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Dengan nama ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji dan syukur hanyalah selayaknya kepada ALLAH SWT, tuhan yang telah mencipta manusia dengan sebaik kejadian, dilengkapi dengan akal fikiran dan peraturan hidupn yang sempurna untuk memandu kehidupan di atas muka bumi ini agar sentiasa berada di landasan yang benar

Selawat dan salam ke atas junjungan besar RASULULLAH SAW, penghulu sekalian rasul, keluarga baginda, para sahabat baginda, tabiin, tabiut tabiin dan para salafus soleh yang telah merealisasikan peraturan hidup ALLAH itulah yang terbaik, sehingga merakamkan suatu sejarah tamadun dan peradaban gemilang yang tiada tolok bandinganya hingga akhir zaman.

Hmmm…. Ramadhan akan bertandang lagi tahun ini. Sebut Ramadhan, pasti adanya PUASA. Antara peraturan yang telah ALLAH tetapkan kepada manusia sejak dahulu, kini dan seterusnya hingga ke akhir zaman ialah puasa. Puasa adalah ibadah yang diwajibkan dalam ISLAM pada bulan Ramadhan.

ALLAH SWT berfirman di dalam AL-QURAN yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa.”
(Surah al-Baqarah: 183)


Puasa pada bulan Ramadhan adalah latihan besar kepada setiap individu Muslim. Ramadhan adalah satu madrasah bagi mendidik jiwa & nafsu agar menjadi lebih mantap. Biasanya orang yang berpuasa akan sedikit “lembik” dan ini mengurangkan kemungkinan untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang InsyaAllah.

Perintah puasa ada lah perintah yang besar. Ini kerana puasa Ramadhan adalah salah satu daripada rukun ISLAM yang lima. Kedudukan puasa Ramadhan, mengikut beberapa riwayat hadis; adalah rukun ketiga atau keempat selepas Syahadah dan Solat Fardhu.

Antaranya sabda RASULULLAH SAW yang bermaksud:

“ISLAM dibina di atas lima perkara. Dua kalimah Syahadah, Solat, Zakat, Puasa Ramadhan dan Haji bagi yang mampu.”
(Hadis Riwayat Bukhari)


Seruan berpuasa juga dimulakan dengan panggilan yang baik iaitu “Wahai orang-orang yang beriman”. Seruan ini besar maknanya bagi orang beriman… (adakah kita tergolong sebagai orang beriman…??!!!). Para sahabat RASULULLAH apabila mendengar sesuatu ayat AL-QURAN dimulakan, mereka tertunggu-tunggu tugas yang bakal diamanahkan. Ini berbeza dengan seruan AL-QURAN yang ditujukan kepada semua manusia tanpa ada apa-apa pengkhususan. Seruan ILAHI sebagai orang yang beriman adalah seruan yang amat indah. Cuba bayangkan jika orang lain memanggil kita dengan gelaran yang baik, apa perasaan kita?

Oleh kerana Puasa adalah ibadah yang baik, ALLAH bukan sahaja memerintahkan umat RASULULLAH untuk berpuasa, bahkan umat terdahulu juga berpuasa.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Sebagaimana yang difardhukan kepada umat sebelum kamu.”
(Surah al-Baqarah: 183)


Renungkanlah, kerana sesungguhnya ALLAH tidak pernah membiarkan hambaNya dalam kesusahan. Sekiranya kita merasakan bahawa kehidupan kita sentiasa dalam kesusahan, ini adalah kerana ALLAH sedang menguji kesabaran dan keteguhan IMAN kita InsyaAllah. Semoga kita sentiasa berjaya menempuhi semua ujian ALLAH dan membuktikan kita adalah dalam golongan orang yang beriman InsyaAllah.

Wabillahi taufiq walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Hamba Allah
Berpegang pada tali yang SATU.

*Petikan kata-kata Ustaz Dato’ Hj. Ismail Kamus & Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir dan ditambah oleh saya. Semoga kita sama-sama renungkan InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment