Ramadhan & Kemerdekaan


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Dengan nama ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji dan syukur hanyalah selayaknya kepada ALLAH SWT, tuhan yang telah mencipta manusia dengan sebaik kejadian, dilengkapi dengan akal fikiran dan peraturan hidup yang sempurna untuk memandu kehidupan di atas muka bumi ini agar sentiasa berada di landasan yang benar

Selawat dan salam ke atas junjungan besar RASULULLAH SAW, penghulu sekalian rasul, keluarga baginda, para sahabat baginda, tabiin, tabiut tabiin dan para salafus soleh yang telah merealisasikan peraturan hidup ALLAH itulah yang terbaik, sehingga merakamkan suatu sejarah tamadun dan peradaban gemilang yang tiada tolok bandinganya hingga akhir zaman.

Kita kini berada di penghujung 2/3 Ramadhan dan malam ini bermulalah pengiraan 10 malam terakhir Ramadhan. Sejajar dengan itu, malam ini juga merupakan malam bermulanya sambutan hari kemerdekaan negara kita yang dicintai, Malaysia. Tahukah anda bahawa Ramadhan dan kermerdekaan adalah sinonim? Bulan Ramadhan juga dikenali sebagai bulan kemerdekaan dimana kita memerdekakan diri dari kongkongan nafsu, dimana ALLAH SWT memerdekakan kita dari dosa dan azab Jahannam dan dimana ALLAH SWT memerdekakan ahli-ahli kubur dari seksaan kubur.

Cuba kita tanyakan, apakah yang paling bermakna dalam hidup sahabat RASULULLAH SAW yang bernama Bilal bin Rabbah? Tidak lain dan tidak bukan, ialah ISLAM dan merdeka – mendapat cahaya kebenaran ISLAM dari rasul junjungan RASULULLAH SAW dan kemudian, dimerdekakan oleh Saiyidina Abu Bakar R.A.

Akhirnya, dengan ISLAM dan merdeka itu, Bilal menjadi seorang manusia baru yang berhati waja, bermaruah, tidak dihina dan ditindas lagi. Dengan ISLAM dan merdeka juga, Bilal – pemuda kulit hitam dari Habsyah yang dipandang hodoh serta diejek kaum jahiliah Quraisy – berubah menjadi pejuang ISLAM yang tinggi keyakinan dirinya. Tanpa ISLAM dan merdeka, kita takkan kenal siapa Bilal bin Rabbah.

Begitulah juga dengan kemerdekaan yang dinikmati oleh negara kita sejak 53 tahun lalu. Dari kemerdekaan itu, Tanah Melayu yang sebelum itu dipandang rendah, dihina, ditindas dan ditendang-tendang oleh penjajah, berubah menjadi sebuah negara yang bermaruah, maju dan dipandang tinggi.

Bangsa yang dahulu ditertawa, dipinggirkan ke hulu sungai, kebun dan ceruk hutan, kini menjadi bangsa yang bermaruah, maju dan dipandang tinggi juga. Mampukah kita capai semua ini tanpa kemerdekaan?

Namun, hendak mencapai kemerdekaan bukanlah mudah. Kita terpaksa melalui kesusahan, kezaliman, kekejaman dan berjuang terlebih dahulu. Tentu kita tahu apa yang telah dilakukan oleh Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan pengganas komunis.

Itulah yang dilalui oleh Bilal. Setiap hari dia diseksa, diletakkan batu atas dadanya yang dibaringkan di atas pasir ketika matahari terik di kepala. Hanya keteguhan iman, semangat yang kuat dan daya juang yang tinggi saja yang telah membebaskan Bilal daripada perhambaan.

Begitu juga dengan negara dan bangsa kita. Hanya selepas berjuang hingga terpaksa menumpahkan darah dan air mata, barulah kemerdekaan tercapai.

Perjuangan untuk mencapai kemerdekaan memang perit, tetapi hasilnya sangat manis. Merayakan kemerdekaan itu tentulah lebih manis lagi dan menyeronokkan, seperti mana yang kita nikmati sekarang.

Demikianlah dengan Ramadhan. Ramadan sebenarnya adalah sebuah perjuangan untuk mencapai kemerdekaan. Apakah perjuangannya? Itulah perjuangan untuk menewaskan nafsu – ammarah, lawwamah (selalu menyesali diri), mulhimah, radhiah dan mardhiah.

Nafsu itu dikuasai oleh syaitan. Ia sangat sukar ditundukkan kerana ia terdapat di dalam diri kita yang dikendalikan oleh syaitan.

Di sinilah letaknya perjuangan dalam ibadah puasa di bulan Ramadhan. Nafsu dan syaitan, yang begitu kuat, kejam serta licik itulah yang perlu ditewaskan. Perjuangan itu teramat payah dan memerlukan pengorbanan. Ia juga perlukan 'ubat' yang kuat, iaitu amal ibadah yang ikhlas, siang dan malam, melakukan ibadah-ibadah sunat, banyakkan beristighfar, bertadarus, bertasbih, berselawat serta berzikir, seperti yang disabdakan oleh RASULULLAH SAW yang bermaksud:

“Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah berpuasa pendengaranmu, penglihatanmu, lidahmu daripada dusta dan dosa, dan elakkan meyakiti khadam. Hendaklah kamu hormatinya dan bersikap tenang pada hari puasamu. Jangan kamu samakan hari berpuasa dengan hari tidak berpuasa.”

Selepas berjuang dalam melaksanakan puasa, berjaya memerdekakan diri daripada belenggu nafsu serta hasutan syaitan, imbuhan yang dijanjikan oleh Allah amatlah lumayan. Antaranya:

Sabda RASULULLAH SAW yang bermaksud, “Diberikan kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat terdahulu, iaitu bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada bau kasturi di sisi Allah, segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya, diampunkan dosa-dosa mereka pada malam lailatulqadar, amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali dan dikurniakan nikmat dan keseronokan ketika berbuka dan ketika menemui Allah di akhirat kelak.”

RASULULLAH SAW juga bersabda yang bermaksud, “Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardu, dan amal fardu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar dan sabar itu adalah syurga balasannya. Bulan ini dilebihkan rezeki kepada hamba-Nya orang mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa, barang siapa memberi makan kepada orang yang berpuasa, pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya.”

Selain itu, RASULULLAH SAW turut bersabda, "Pintu langit dan pintu syurga dibuka pada awal Ramadan hingga akhir malam Ramadan. Setiap orang yang bersolat pada malamnya ditulis baginya tiap satu sujud 1,700 kebajikan, dibina rumah baginya di dalam syurga daripada yaqut merah indah, baginya 70 pintu daripada emas yang bertatahkan yaqut merah indah. Orang yang berpuasa awal Ramadan diampunkan segala dosanya hingga ke akhir Ramadan, dibina baginya tiap-tiap hari sebuah mahligai di dalam syurga, mempunyai 70,000 malaikat dari pagi hingga tenggelam matahari.”

Renungkanlah, ALLAH SWT mengurniakan akal kepada Malaikat tetapi tidak nafsu, ALLAH SWT mengurniakan nafsu kepada haiwan tetapi tidak akal. Namun bagi manusia, ALLAH SWT mengurniakan kedua-dua akal dan nafsu. Untuk apa..??!!! Untuk membuat maksiat, berzina, membuang bayi dan mengagungkan manusia yang tidak sepatutnya...??!!! Atau membuat kebaikkan, beramal jariah, membantu mereka yang memerlukan dan sentiasa berfikiran baik. Pilihan ditangan anda. Adakah anda mahu berparti sempena sambutan malam kemerdekaan atau bermuhasabah diri dan beriktikaf di masjid bagi menyambut 10 malam terakhir Ramadhan serta merebut keberkatan Lailatul Qadar??!!!

Kesempatan ini saya gunakan untuk mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan Ke-53. Selamat Hari Lahir MALAYSIA. Dan selamat beriktikaf dan merebut fadhilat Lailatul Qadar.

Wassalam.

Hamba Allah
Berpegang Pada Tali Yang SATU

* sebahagian isi kandungan diatas diolah dari laman web Ummatan Wasatan. Terima kasih diucapkan kepada penulisnya En. Zulkarnain Zakaria.*

No comments:

Post a Comment