Pengertian Rejab

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Dengan nama ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji dan syukur hanyalah selayaknya kepada ALLAH SWT, tuhan yang telah mencipta manusia dengan sebaik kejadian, dilengkapi dengan akal fikiran dan peraturan hidup yang sempurna untuk memandu kehidupan di atas muka bumi ini agar sentiasa berada di landasan yang benar

Selawat dan salam ke atas junjungan besar RASULULLAH SAW, penghulu sekalian rasul, keluarga baginda, para sahabat baginda, tabiin, tabiut tabiin dan para salafus soleh yang telah merealisasikan peraturan hidup ALLAH itulah yang terbaik, sehingga merakamkan suatu sejarah tamadun dan peradaban gemilang yang tiada tolok bandinganya hingga akhir zaman.

Agak lama saya tidak mengemaskini laman ini. Kali ini saya ingin dekatkan saudara dan saudari untuk berkenalan dengan sahabat yang mengakhiri urutan bulan-bulan Haram (diharamkan peperangan) serta mendahului urutan bulan-bulan mulia yang sentiasa kita nantikan iaitu Rejab.

Firman ALLAH SWT dalam surah at-Taubah ayat ke 36-37 yang bermaksud:

"Sesungguhnya bilangan bulan disisi ALLAH adalah dua belas bulan didalam ketetapan ALLAH di waktu Dia menjadikan langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu didalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya dan ketahuilah bahawasanya ALLAH beserta orang-orang yang berta'wa."

Biasanya kita hanya mementingkan malam 27 Rejab dan membiarkan keseluruhan bulan tersebut. Kenapa..??? Mungkin kerana kita tidak begitu mengenali Rejab. Oleh itu, mari kita sama-sama mengenal Rejab, permulaan perjalanan dalam proses penyucian jiwa.

Rejab merupakan bulan ke-7 di dalam kalendar Takwim Hijrah. Rejab dari segi bahasa bermaksud ‘mulia’. Juga dari kalimah tarjib bermaksud kemuliaan atau keagungan. Dikatakan juga kalimah rejab itu diambil dari perkataan arab “aku memuliakannya dengan penuh kemuliaan”. Terdapat hampir empat belas nama bagi Rejab antaranya:

Rejab al-Mudhar - merujuk kepada qabilah Mudhar dari suku bangsa Quraisy. Golongan ini amat memuliakan bulan rejab dengan pelbagai acara ibadat.
(Ibn Hajar al-Asqalani, Lisan al-Mizan, 1986, Cetakan ke-3, Muassasah al-A’lami : Beirut, hlm 71-72 juz 4 no ind: 213)

Rejab al-Mudhir - bermaksud memudharatkan. Iaitu persengketaan dan pertempuran senjata tidak atau jarang kedengaran berlaku kerana kemudharatan berperang pada bulan berkenaan.
(al-Qurtubi, Jami’ lil Ahkam al-Qur’an, 1372H, Cetakan ke 2, Dar al-Sya`ab : Qaherah, hlm 326 juz 6)

Rejab Mansil al-Asinnah - bermaksud bulan perdamaian atau gencatan senjata. Lazimnya, bangsa arab jahiliah yang berbalah, berdendam, berperang dan berbunuh-bunuhan akan meletakkan senjata mereka sempena kedatangan bulan rejab yang mulia.
(al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, 1987, Cetakan ke 3, Dar Ibn Katsier, hlm 1591 juz 4)

Rejab al-‘Ashom - bermaksud bulan kebisuan. Iaitu satu bulan yang tidak kedengaran kemurkaan Allah yang besar kepada umat manusia pada bulan ini. Bahkan dalam masa yang sama, Allah menghapuskan kejahatan, kesyirikan dan kesengsaraan hambaNya. Hal ini selari dengan apa yang diriwayatkan oleh Imam Ibrahim al-Nakha’ie rhm berbunyi : Sesungguhnya Rejab itu adalah bulan Allah.
(Abd al-Qader al-al-Jaylani, al-Ghunyah li Thalib Thariq al-Haq Azza WaJalla, 1996-1416H, Maktabah Usamah bin Zayd, Halab : Syiria, hlm 230)

Rejab al-Muthahhir - bermaksud bulan penyucian. Iaitu menyucikan dosa hamba-hambaNya daripada salah silap dosa dan noda. Terutamanya dosa mereka yang melakukan ibadat puasa. Imam Hibbatullah bin al-Mubarak al-Saqathi meriwayatkan dengan isnadnya daripada al-A’masy daripada Ibrahim daripada Alqamah daripada Abu Sa’id al-Khudri rhm bahawa Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) Dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan Yang dihormati. Rejab dikenali dengan al-Ashom. Dan tiga bulan haram yang berturutan (Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram). Rejab itu bulan Allah, Syaa’ban bulanku dan ramadhan bulan umatku. Barangsiapa yang berpuasa sehari di bulan rejab dengan keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah nescaya dia akan mendapat keredhaan Allah yang besar..”
(ibid, hlm 231)

Selamat berkenalan dengan Rejab. Terdapat beberapa kisah dan peristiwa yang terjadi sepanjang bulan Rejab. Mari kita bincangkan peristiwa-peristiwa bersejarah tersebut, InsyaAllah.

1. Hijrah Pertama

Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada RASULULLAH SAW dan mereka yang beriman kepada RASULULLAH SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada RASULULLAH SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu RASULULLAH SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah (Ethiopia).

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak RASULULLAH SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra' dan Mi'raj

Peristiwa bersejarah tersebut merupakan sebuah peristiwa luar biasa, sebuah mu'jizat dari ALLAH SWT bagi RASULULLAH SAW yang tidak pernah dilakukan oleh rasul dan nabi sebelumnya. Hanya RASULULLAH SAW sajalah yang diberikan anugerah dan kehormatan oleh ALLAH SWT untuk melakukannya sebagai petanda betapa tingginya penghargaan ALLAH SWT kepada RASULULLAH SAW.

Dalam perjalanan Isra' mahupun Mi'raj seperti dinyatakan dalam buku 'Muhammad Beraudiensi dengan Tuhan' karya Moch. Abdai Rathomy (1983: 53), RASULULLAH SAW didampingi Malaikat JIBRIL AS dan MIKAIL AS menunggang seekor haiwan yang disebut 'Buraq'. Beberapa peristiwa yang terjadi selama Isra' berlangsung memberikan hikmah dan pelajaran yang sangat mendalam bagi RASULULLAH SAW serta menjadi cermin bagi umat yang menjadi pengikutnya.

• RASULULLAH SAW memperoleh pelajaran tentang keadaan masa lalu dan masa yang akan datang yakni saat JIBRIL AS menyuruh baginda melakukan solat di Kota Thaibah (Madinah) dimana kelak RASULULLAH SAW akan berhijrah ke kota ini, di Thur Sina (Bukit Thursina), tempat Allah berfirman kepada Nabi MUSA AS, serta di Bethelehem, tempat lahirnya Nabi ISA AS putera MARYAM AS.

• JIBRIL ASjuga mengajari RASULULLAH SAW bagaimana menghadapi Ifrit dari golongan jin yang mengganggunya dengan memberinya sebuah doa yang harus dibaca RASULULLAH SAW.

• Mengambil hikmah dari perjuangan seorang Muslimah sejati Siti Masyitah dalam berjihad mempertahankan keyakinannya akan keesaan ALLAH SWT.

• Mendapat pelajaran bagaimana akibatnya bagi orang-orang yang enggan solat, enggan berzakat, pemakan riba dan suka berbuat zina. Pengganggu jalan umum, pemimpin yang kejam dan yang suka memburuk-burukan orang lain.

• Gambaran umat yang terjebaknya dalam kemewahan dunia, perumpamaan umur dunia yang sudah tua, muncul bermacam-macam minuman yang boleh dan tidak boleh (haram) diminum umat RASULULLAH SAW serta adanya pengakuan para nabi akan keberadaan RASULULLAH SAW sebagai pemimpin utama.

Dalam perjalanan Mi'raj banyak pula hal yang dialami oleh RASULULLAH SAW. Namun yang paling penting adalah baginda mendapat keringanan solat fardu dari lima puluh kali menjadi lima kali sehari semalam, sebuah kewajiban yang harus dikerjakan umatnya sampai kelak akhir zaman.

Terjadinya peristiwa Isra' dan Mi'raj seperti yang telah kita fahami adalah pada malam 27 Rejab. Namun tahukah anda bahawa tiada hadis sahih yang menyatakan bila sebenarnya terjadi peristiwa Isra' dan Mi'raj ini. Terdapat khilaf (perselisihan) diantara ulama' berkenaan bilakah terjadinya Isra' dan Mi'raj.

Ada yang berpendapat peristiwa ini berlaku sebelum RASULULLAH SAW menjadi Nabi. Ia merupakan pendapat yang janggal. Majoriti ulama' berpendapat Isra' dan Mi'raj berlaku selepas RASULULLAH SAW menjadi Nabi. Ia diperkuatkan oleh banyak hadis yang sahih. Seterusnya mereka berbeza pendapat lagi tentang tahun kejadian selepas kebangkitan RASULULLAH SAW sebagai Nabi samada tahun ke 13, 12, 10 atau ke 8 Kenabian. Begitu juga bulan samada bulan Safar, Rabi`ul Awal, Rabi`ul Akhir, Rejab, Sya`ban, Ramadhan, Syawal atau Zulhijjah. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

3. Perang Tabuk

Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana RASULULLAH SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran

4. Pembebasan Baitul-Muqaddis

Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Namun pada tahun 1967 bersamaan 1387H, umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RA

Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.

InsyaAllah akan kita kupaskan berkenaan peristiwa-peristiwa ini dimasa akan datang. Buat masa ini, renungkan pengertian Rejab dan peristiwa-peristiwa penting tersebut. InsyaAllah akan kita bincangkan amalan-amalan yang boleh dilakukan bagi mengimarahkan Rejab, InsyaAllah.


Hamba Allah
Berpegang pada tali yang SATU

* Artikel diatas dinukilkan oleh saya serta diolah dari beberapa rujukan seperti tersenarai:

• http://noradila.tripod.com/id122.html
• http://hardymanm.blogspot.com
• Artikel terbitan Unit Pendidikan Islam & Unit ICT/ Maklumat, Pejabat Pelajaran Daerah Jasin
• Kelebihan Bulan Dan Hari Serta Amalan Wirid Dan Doa nukilan Abul Khairy As-Latifi terbitan Darul Nu'man
• Rahsia & Amalan Bulan Islam nukilan Kasmuri Selamat Ma terbitan Darul Nu'man

No comments:

Post a Comment