Pengertian Sya'ban

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Dengan nama ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji dan syukur hanyalah selayaknya kepada ALLAH SWT, tuhan yang telah mencipta manusia dengan sebaik kejadian, dilengkapi dengan akal fikiran dan peraturan hidup yang sempurna untuk memandu kehidupan di atas muka bumi ini agar sentiasa berada di landasan yang benar

Selawat dan salam ke atas junjungan besar RASULULLAH SAW, penghulu sekalian rasul, keluarga baginda, para sahabat baginda, tabiin, tabiut tabiin dan para salafus soleh yang telah merealisasikan peraturan hidup ALLAH itulah yang terbaik, sehingga merakamkan suatu sejarah tamadun dan peradaban gemilang yang tiada tolok bandinganya hingga akhir zaman.

Kita kini meniti dipenghujung bulan Rejab dan saya memohon kemaafan kerana tidak sempat menyiapkan nukilan berkenaan amalan-amalan yang boleh dilakukan bagi mengimarahkan Rejab. InsyaAllah akan saya kemaskini di lain kesempatan. Kali ini saya ingin berkongsi berkenaan satu lagi bulan akan akan kita sambut kehadirannya dalam beberapa hari saja lagi menyambung urutan bulan-bulan mulia. Sya'ban, begitulah nama tetamu yang akan bertandang setelah selesai Rejab, InsyaAllah. Seperti yang saya sebutkan pada nukilan sebelum ini, dimana Rejab adalah permulaan perjalanan dalam proses penyucian jiwa; maka Sya'ban pula adalah pertengahan perjalanan dimana kita akan mulakan proses pengisian jiwa.

Sya'ban merupakan bulan ke-8 di dalam kalendar Takwim Hijrah dan membawa maksud 'berserak-serak' atau 'berpecah'. Dinamakan sedemikian kerana pada bulan Sya'ban, kaum Arab akan berserak dan berpecah secara berkumpulan mencari air untuk simpanan menghadapi bulan Ramadhan (sila rujuk artikel bertajuk 'Pengertian Ramadhan'). Tentu kita sering mendengar atau terbaca hadis berikut apabila tiba bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadhan, dimana dikatakan kononnya bahawa RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud:

“Rejab bulan ALLAH, Sya`ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”

Sedarkah anda bahawa hadis ini adalah hadis munkar dan kebanyakan ulama' menyatakan bahawa ia adalah hadis palsu...??!!! Maka apabila membicarakan tentang sesuatu hadis, maka sewajarnya kita merujuk kepada riwayat-riwayat yang sahih dan yang diterima oleh para ulama' agar kita tidak termasuk dalam golongan 'pak turut' yang hanya melakukan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan. Sedangkan Islam itu sendiri adalah agama ilmu, maka sewajarnyalah apa yang hendak dilakukan mestilah berteraskan kepada ilmu.

Kembali kita pada sahabat kita iaitu Sya'ban, terdapat beberapa peristiwa bersejarah penting dalam aliran perkembangan Islam yang terjadi di sepanjang bulan Sya'ban. Seperti biasa, mari kita hayati peristiwa-peristiwa tersebut, InsyaAllah.

1. Pertukaran Arah Kiblat

Peristiwa paling penting yang berlaku pada tahun ke-2 Hijrah di bulan Sya'ban adalah apabila turunnya arahan dari ALLAH SWT untuk peralihan kiblat daripada Baitul Maqdis ke Kaabah yakni daripada Masjid al-Aqsa ke Masjidil Haram. Golongan Abu Anbiya’ iaitu Nabi Ibrahim yang merupakan asal keturunan Ahli Kitab khususnya orang-orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah RASULULLAH SAW. Lalu ALLAH SWT mewahyukan ayat 142 Surah al-Baqarah yang mengejek golongan tersebut yang bermaksud:

"Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: "Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya". Katakanlah: "Kepunyaan ALLAH timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus".

Akan kita bincangkan secara lanjut mengenai peralihan arah kiblat ini di masa akan datang.

2. Beberapa Peristiwa Peperangan

Terdapat banyak nukilan dan blog yang menyenaraikan beberapa peristiwa peperangan yang berlaku di zaman RASULULLAH SAW pada bulan Sya'ban. Antaranya perang Dzat al-Riqa' serta Perang Bani al-Mustalaq. Namun terdapat percanggahan pendapat serta percanggahan waktu berlakunya peperangan ini disepanjang penelitian saya. Maka tidak dapat saya tetapkan disini bahawa peristiwa peperangan yang dinyatakan adalah berlaku di bulan Sya'ban. InsyaAllah akan saya kaji perkara dengan ini lebih mendalam dan akan saya nukilkan di tajuk yang lain.

3. Malam Nisfu Sya'ban

Satu lagi peristiwa yang mengundang kontroversi dikalangan umat Islam mengenai amalan-amalan menghidupkan malam Nisfu Sya'ban atau juga dikenali sebagai malam Lailatul Baraqah. Akan saya lanjutkan perbincangan mengenai malam Nisfu Sya'ban ini di ruangan 'Peristiwa Bersejarah' dalam waktu terdekat, InsyaAllah.

Ya Saudara serta Saudari yang dikasihi, Rejab akan melabuhkan tirainya dalam beberapa hari lagi. Marilah kita bersama-sama menghisab akan amalan-amalan yang telah kita laksanakan selama ini. Dan akan saya berusaha untuk mengemaskini berkenaan amalan-amalan yang digalakkan perlaksanakan sepanjang Sya'ban. InsyaAllah saya akan cuba untuk tidak mengulangi kelewatan seperti yang berlaku pada artikel Pengertian Rejab.

ALLAHU AKBAR, Wallahu'alam bissawab.


Hamba Allah
Berpegang pada tali yang SATU

* Rujukan:

• al-Quranul Karim
• http://ustazshauqi.blogspot.com
• http://mencariredhailahi.blogspot.com
• Kelebihan Bulan Dan Hari Serta Amalan Wirid Dan Doa nukilan Abul Khairy As-Latifi terbitan Darul Nu'man
• Rahsia & Amalan Bulan Islam nukilan Kasmuri Selamat Ma terbitan Darul Nu'man

No comments:

Post a Comment