Bicara Hadis

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Dengan nama ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji dan syukur hanyalah selayaknya kepada ALLAH SWT, tuhan yang telah mencipta manusia dengan sebaik kejadian, dilengkapi dengan akal fikiran dan peraturan hidup yang sempurna untuk memandu kehidupan di atas muka bumi ini agar sentiasa berada di landasan yang benar

Selawat dan salam ke atas junjungan besar RASULULLAH SAW, penghulu sekalian rasul, keluarga baginda, para sahabat baginda, tabiin, tabiut tabiin dan para salafus soleh yang telah merealisasikan peraturan hidup ALLAH itulah yang terbaik, sehingga merakamkan suatu sejarah tamadun dan peradaban gemilang yang tiada tolok bandinganya hingga akhir zaman.

Tujuan dan sebab utama saya memulakan kategori "Bicara Hadis" ini adalah bertujuan untuk membuka ruang untuk kita mengenalipasti dan memastikan agar hadis-hadis yang kita baca, dengar dan ketahui adalah hadis sahih dan mempunyai periwayat yang benar. Seperti kebanyakan umat masa kini, saya juga satu masa dahulu menerima secara terus hadis-hadis yang saya pelajari dari buku-buku dan saya dengar dari orang ramai. Malah saya pernah mengambil langkah mengedarkan risalah-risalah berkenaan hadis-hadis dan amalan-amalan berkenaan ke Masjid dan Surau sekitar kawasan penempatan saya. Niat saya agar jemaah Masjid dan Surau berkenaan dapat sama-sama berkongsi maklumat tersebut.

Namun setelah saya meningkat dewasa dan mula membaca lebih banyak buku dan dengan kemudahan internet dimana begitu luas maklumat yang boleh didapati, saya mula sedar bahawa terdapat begitu banyak hadis lemah dan yang lebih bahaya, hadis palsu. Maka sejak dari saat itu, sebelum saya menceritakan atau menulis artikel, saya akan cuba sedaya upaya untuk pastikan bahawa hadis yang saya sertakan dalam artikel saya adalah hadis yang mempunyai periwayatnya. Walaupun begitu, saya tidak berani mengkelaskan sebarang hadis tersebut sama ada hadis sahih, dhaif ata palsu tanpa membuat kaji selidik. Sekiranya saya mengkelaskan sebarang hadis tersebut, itu adalah pengesahan dari Ulama' yang lebih arif dari bidang Hadis melalui buku-buku nukilan mereka atau laman web mereka.


SIKAP KITA VS SIKAP PARA SAHABAT

Para Sahabat sekalipun pernah hidup di zaman RASULULLAH SAW, mereka tidak mengamalkan sikap bermudah-mudahan dalam mennyampaikan hadis selepas kewafatan baginda. Mereka sangat teliti dan berhati-hati. Berbeza sekali dengan kita pada hari ini, dengar sahaja “RASULULLAH SAW bersabda” atau “RASULULLAH SAW melakukan itu dan ini” terus kita sebarkan siap berserta emoticon senyuman tanpa teliti dan berhati-hati. Mari kita lihat satu contoh sikap berhati-hati para Sahabat apabila berinteraksi dengan hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata: Aku (Sa’id al-Khudri) sedang menghadiri majlis yang diadakan oleh kaum Ansar, kemudian Abu Musa datang mendekatiku, dia berkata:

Aku (Abu Musa) telah mengucapkan salam tiga kali di hadapan pintu rumah Umar RA namun tidak mendapati jawapan, lalu aku pun pulang, kemudian aku ditanya orang: “Mengapa engkau pulang?” Aku telah mengucapkan salam tiga kali namun tidak mendapati jawapan, oleh sebab itu aku harus pulang, sebagaimana sabda RASULULLAH SAW:

“Apabila kamu mengucapkan salam sebanyak tiga kali dan tidak mendapat jawapan maka hendaklah kamu pulang”

Abu Sa’id berkata: Demi ALLAH engkau telah mengeluarkan satu penjelasan, adakah diantara kamu sekalian yang pernah mendengarkan apa yang telah didengar oleh Abu Musa daripada RASULULLAH SAW? Lalu Ubay bin Ka’ab berkata: Demi ALLAH tidak ada yang turut mendengarnya melainkan orang yang lebih muda diantara kami dan aku adalah orangnya, aku bersamanya semasa itu dan aku juga telah mengkhabarkan kepada Umar RA bahawa bahawa RASULULLAH SAW bersabda sedemikian. [Sahih al-Bukhari – no: 5891]

Para Sahabat takut menjadi orang yang banyak meriwayatkan hadis dikhuatiri mereka terjerumus ke dalam kesilapan dan kesalahan, hingga akhirnya membawa mereka untuk berdusta ke atas RASULULLAH SAW, suatu perbuatan yang amat tercela dan mendapat ancaman yang sangat buruk daripada RASULULLAH SAW. [Manna’ Khalil al-Qathan, Mabahats Ulumul Hadis (Cara Mudah Memahami Ilmu-Ilmu Hadis), ms. 66]

Ancaman yang dimaksudkan itu adalah sabda RASULULLAH SAW yang bermaksud:

"Barang siapa yang berdusta atasku (yakni atas namaku) dengan sengaja, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya (yakni tempat tinggalnya) di neraka." [Sahih Muslim – no: 3]


BERDIAM DIRI LEBIH BAIK

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud:

"Cukup bagi seseorang itu sebagai pendusta dengan menceritakan apa sahaja yang dia dengar." [Sahih Muslim - hadis no: 5]

Sekiranya kita tidak pasti apabila menerima suatu hadis, kita ada tiga pilihan:

[1] Menyelidik dan menyemaknya bagi yang berkemampuan.

[2] Bertanya kepada yang lebih mengetahui terutama mengenai ilmu hadis .

[3] Berdiam diri daripada menyebarkannya sekiranya tidak mampu melakukan kedua-dua perkara diatas sehinggalah telah jelas hujah bahawa ianya sahih dan selamat disebarkan.

Contohilah sahabat yang begitu berhati-hati dalam meriwayatkan hadis kerana khuatir terjerumus dalam ancaman RASULULLAH SAW. Ingatlah Firman ALLAH SWT:

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُول

"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya." [al-Isra’ 17:36]


Hamba Allah
Berpegang pada tali yang SATU

* Rujukan:

• al-Quranul Karim
• www.google.com - Search Engine
• http://aim9093.blogspot.com

No comments:

Post a Comment