Pendahuluan

DEFINISI HADIS

Hadis ialah perkataan bahasa Arab yang membawa maksud baharu atau lawan bagi lama.

Hadis dari segi istilah para sarjana hadis bermaksud: Sesuatu yang disandarkan kepada RASULULLAH SAW sama ada dari segi perkataan, perbuatan, pengiktirafan atau pengakuan (taqrir) atau sifat-sifat beliau sama ada sifiat-sifat fizikal atau sifat-sifat peribadi.

Oleh yang demikian, boleh kita nyatakan bahawa hadis merangkumi lima aspek iaitu:

i) PERKATAAN: Kata-kata yang disebut oleh RASULULLAH SAW seperti:

"Sampaikanlah dari ku walaupun hanya satu ayat.”
(Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, Tarmidzi)

ii) PERBUATAN: Perbuatan-perbuatan RASULULLAH SAW yang diceritakan oleh para sahabat dan mereka yang hidup di zaman Nabi. Contohnya seperti yang dinyatakan oleh isteri RASULULLAH SAW, 'Aisyah RA:

"Nabi RASULULLAH SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat empat rakaat sebelum Zohor dan dua rakaat sebelum Subuh."
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

iii) TAQRIR: Sesuatu percakapan atau perbuatan yang dilakukan oleh para sahabat dan RASULULLAH SAW hanya mendiamkan diri dan tidak mengingkarinya. Maka tindakan RASULULLAH SAW yang berdiam diri dan tidak menghalang tersebut merupakan suatu pengakuan dan pengiktirafan daripada beliau.

ia adalah suatu yang disyariatkan kerana RASULULLAH SAW tidak akan berdiam dalam perkara-perkara yang dilarang. Contohnya, pengakuan beliau kepada sahabat yang memakan daging dhab seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari; pengiktirafannya terhadap perbuatan pemuda Habsyah yang bermain di dalam masjid seperti riwayat al-Bukhari dan lain-lain lagi.

iv) SIFAT-SIFAT FIZIKAl: Perkara seperti ini diceritakan oleh para sahabat RASULULLAH SAW yang menyatakan beliau adalah seorang yang mempunyai paras rupa yang elok, baik penciptaan; tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari.

v) SIFAT-SIFAT PERIBADI: iaitu hadis yang menceritakan akhlak RASULULLAH SAW. Contohnya seperti yang dikatakan oleh Abu Hurairah RA bahawa RASULULLAH SAW tidak pernah sekali mencela makanan, jika suka baginda akan makan dan jika tidak suka beliau meninggalkannya.

Menurut majoriti para sarjana hadis, definisi hadis yang dinyatakan ini adalh sama dengan definisi sunnah.


PEMBAHAGIAN HADIS SECARA UMUM

Secara umumnya hadis boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu hadis yang boleh diterima (hadis maqbul) dan hadis yang tertolak (hadis mardud). Dibawah kategori Hadis Maqbul terdapat dua jenis hadis iaitu hadis sahih dan hadis hasan. Kedua jenis hadis ini juga terbahagi kepada dua bahagian iaitu hadis sahih lizatihi, haids sahih lighairihi, hadis hazan lizatihi dan hadis hasan lighairihi.

Di bawah kategori Hadis Mardud terdapat hadis daif (lemah). Hadis daif ini terbahagi kepada banyak jenis hadis. Antara jenis hadis daif yang paling teruk ialah hadis palsu (maudu').


DEFINISI SANAD DAN MATAN


Sanad dari sudut bahasa bermaksud sesuatu yang disandarkan kepadanya sesuatu yang lain atau disebut tempat sandaran atau bergantung. Dari sudut istilah para sarjana hadis, sanad bermaksud rangkaian para pelapor (perawi) hadis yang bersambung sehingga ke sis kandungan (matan) hadis.

Matan dari sudut bahasa Arab bermaksud sesuatu yang keras dan tinggi dari permukaan bumi. Dari sudut pandangan sarjana hadis, matan bermaksud suatu yang ada selepas daripada sanad. Dalam simpulan yang mudah, sanad adalah isi kandungan atau teks hadis yang biasanya terletak selepas nama pelapor terkhir dalam suatu hadis.

Gambarajah dibawah menunjukkan pembahagian hadis secara umum.
Pembahagian Hadis

InsyaAllah kita akan kupas satu persatu jenis hadis seperti yang dinyatakan pada posting yang akan datang. ALLAHU AKBAR, Wallahu'alam bissawab.

Hamba Allah
Berpegang pada tali yang SATU

* Rujukan:
• 40 Hadis Palsu Popular nukilan Abd. Razak Muthalib
• www.google.com - Search Engine
• Minda Tajdid - http://drmaza.com/home

No comments:

Post a Comment